KLIK UTK BESARKAN

PERUTUSAN RAMADHAN AL-MUBARAK YDP PAS KUALA SELANGOR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan...

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan usia dan diberi peluang untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang mulia ini..Rata-rata masyarakat Islam di seluruh Negara pasti menunggu-nunggu kedatangan bulan yang mulia ini namun tak kurang juga ada yang gelisah akan kedatangannya.

Tahniah bagi yang menunggu-nunggu kedatangan bulan Ramadhan ini dan yang gelisah, bersihkan diri anda sebelum menjengah madrasah Ramadhan ini kerana kita belum pasti diberi peluang oleh Allah untuk bertemu Ramadhan tahun hadapan.

Ramadhan terkandung pelbagai hikmah dan matlamatnya seperti firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa ".

Ayat tersebut mengungkapkan matlamat Ramadhan dan juga matlamat penghidupan yang sebenar adalah untuk melahirkan Insan yang bertakwa.. Namun adakah kita benar-benar mencapai matlamat Ramadhan yang telah ditetapkan oleh Allah melalui firmannya tersebut? Tepuk dada tanya iman. Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi apa yang diperolehi mereka hanyalah lapar dan dahaga sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulallah melalui sabdanya itu.

Puasa bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi madrasah ini mengajar kita erti yang lebih besar untuk menjadi insan bertakwa di sisi Allah. Mata, telinga, tangan, kaki, lisan malah seluruh anggota perlu berpuasa dari melakukan kemungkaran di sisi Allah. Jauhilah mata dari melihat kemungkaran, jauhkan telinga dari mendengar kemungkaran, jauhkan tangan melakukan kemungkaran, jauhkan kaki melangkah ke tempat maksiat, jauhilah diri dari nafsu yang cintakan duniawi.

Gunakanlah peluang dan ruang yang diberi oleh Allah ini untuk kita mencari bekalan akhirat dengan memenuhi rumah-rumah Allah (masjid), perbanyakkan mengingati Allah dengan berzikir dan membaca Al-Quran, bersihkan hati kita dari sifat hasad dengki, fitnah dan umpat mengumpat, hulurkan sedekah dan zakat kepada mereka yang memerlukan. Suburkanlah kawasan perumahan kita perasaan mahabbah dengan bertukar-tukar juadah, bantu-menbantu, tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan darjat keturunan.

Seterusnya, amalan ini bukan hanya sekadar dilaksanakan di bulan Ramadhan sahaja tetapi ianya wajib diteruskan pada bila-bila masa. Jadikan Ramdhan sebagai tapak untuk kita berhijrah ke suatu tahap yang lebih baik. Berhijrahlah dari sudut minda, berhijrahlah dari sudut amal ibadah, berhijrahlah ke arah yang lebih baik dalam segenap sudut kehidupan bermula dari madrasah Ramadhan ini.

Sekiranya madrasah Ramadhan ini dihayati dan diamalkan, nescaya kita pasti akan dapat mengapai matlamat akhir tarbiyyah Ramadhan ini, menjadi Insan yang bertakwa di sisi Allah. Saya doakan kita semua tergolong di kalangan orang yang bertakwa di sisi Allah SWT.

Sekian, Selamat Menyambut

Bulan Ramadhan, Selamat Beribadah Di Bulan Yang Mulia Ini..

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muhd Rashid Kassim
Yang diPertua
PAS Kawasan Kuala Selangor
http://www.facebook.com/cgu.rashid

0 comments
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular