Tuhan tidak menyukai pendakwah yang mengalah, patah hati, kecewa dan merajuk sehingga meninggalkan usaha dakwah ke atas umatnya. Sebab itulah Tuhan merakam kisah Nabi Yunus a.s ditelan ikan Nun setelah baginda meninggalkan dakwah ke atas kaumnya sebagai suatu pengajaran. Namun begitu, perihal taubat Nabi Yunus dalam al-Quran turut dirakam agar para pendakwah segera bertaubat jika mereka mengalah terhadap sebarang usaha pemerintah yang menyekat dakwah tersebut.
Oleh itu, pendakwah atau mereka yang beriltizam mewakafkan waktu mereka untuk berjuang memansuhkan ISA, Auku, PPSMI dan lain-lainnya janganlah pernah berhenti daripada berjuang, setelah mereka meyakini bahawa telah berada di landasan yang benar dalam perjuangan ini. Pemerintah mesti bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rakyatSekiranya manusia Muslim itu seorang pemimpin negara, maka hendaklah dia segera menyelesaikan urusan rakyatnya sehingga sempurna. Janganlah pemerintah itu suka melambat-lambatkan tuntutan rakyat seperti melewat-lewatkan agihan gaji pekerja dengan memberikan pelbagai alasan. Jika penguasa Muslim itu sudah meluluskan peruntukan untuk membangunkan sebuah projek perumahan, maka janganlah dia membiarkan rumah-rumah itu tidak siap atau terbengkalai pada akhirnya. Terbengkalainya sesebuah tapak projek perumahan melambangkan sikap tidak bersungguh-sungguh, tidak tekun dan cuainya penguasa itu ke atas masalah rakyatnya. Kerja yang belum beres, tidak selesai atau projek yang tidak sempurna ini adalah simbol, lambang atau kesan daripada sikap penguasa yang tidak bersungguh-sungguh atau sikap tidak jujur seseorang penguasa itu. Mungkin pemerintah itu suka bergurau, bercanda, bermain-main dengan wanita di bar, kelab malam dan coffee house serta bermain golf pada waktu lapang. Perjuangan belum selesai.. sebuah retorik sifar!Dengan tiba-tiba, pada setiap kali perhimpunan parti, pemimpin jugalah yang kerap bersikap hipokrit dengan melaungkan bahawa perjuangan mereka belum selesai! Ya lah! Nak selesai macam mana kalau mereka asyik bergurau dan tidak bersungguh-sungguh membuat kerja! Walhal sikap suka buang masa, tidak peka masalah rakyat kerana suka bermain golf, dan sikap tidak prihatin dengan bebanan rakyat itulah yang menyebabkan 'perjuangan' projek perumahan mereka telah terbengkalai. Tapi.. bagi masyarakat yang masih belum terbangkit lagi kesedaran dan pencerahannya, akan mudahlah ditipu dengan ungkapan-perjuangan belum selesai itu. Lalu, slogan perjuangan belum selesai itu, dengan tiba-tiba melonjakkan nama para penguasa itu di mata rakyat, bahawa kononnya mereka itulah pejuang bangsa! Perjuangan belum selesai hanyalah retorik sifar, sedangkan masa yang terluang bagi seseorang penguasa itu amat berharga.
Kisah termasyhur Saidina Umar mengendong gandum ke rumah janda-janda pada waktu malam sepatutnya menjadi pengajaran terhadap para penguasa yang asyik beretorik itu. Diriwayatkan.. tatkala Ali k.w meninggal dunia, ramailah balu dan janda yang menangis. Antara keluhan mereka.. "Selepas ini, siapa lagi yang akan mengetuk pintu rumah kami dan mengendong gandum," demikianlah raungan mereka itu. Pecahlah rahsia Saidina Ali pada ketika wafatnya itu. Demikianlah Umar dan Ali mewakafkan masa malam guna membuat amal soleh kepada rakyat termiskin. Adakah khalifah ini suka membuang masanya untuk bermain golf, berhibur dangdut dan berlibur di luar negeri mengangkut perempuan sedangkan rakyatnya masih menderita kelaparan seperti yang terjadi pada zaman ini? Arakian inilah antara sebab kenapa banyak masalah umat hari ini yang masih tidak beres. Sudahlah masalah tidak beres kerana mereka asyik membuang masa di padang golf, tiba-tiba mereka pula mengeluh sambil 'sembang deraih' kepada rakyat dengan menyatakan bahawa 'perjuangan' mereka belum selesai. Percayalah.. semua ini berlaku kerana, pemimpin umat Islam tidak bersungguh-sungguh bekerja, cuai dalam pekerjaannya, suka bermain golf dan tidak banyak meluangkan masa dan mewakafkan waktunya untuk membela nasib rakyat. Jika 'membela' sekali pun, mungkin mereka cuma membela ahli-ahli partinya kerana mahu imbuhan sesuatu atau mereka membantu dengan sokongan media kerana mahukan publisiti murahan. Rakyat wajib menyiasat ke arah mana peruntukan waktu dan jadual ahli parlimen kita itu. Kita perlu bermuhasabah, menghisab ke arah mana menteri-menteri berhibur dan berlibur selama ini. Jangan lagi, buat selama-lamanya kita yakin, percaya lalu menganggap bahawa kemiskinan kita berpunca daripada kelemahan kita sendiri. Mungkin 30 peratus kemiskinan rakyat kita berpunca daripada kelemahan kapital, kekurangan modal dan kebodohan sendiri. Tapi, percayalah bahawa antara punca kelemahan kita hari ini, 70 peratus daripada bermuara daripada sikap kealpaan dan kelemahan penguasa dalam menyusun jadualnya untuk bertemu dengan rakyat dalam acara tidak rasmi. Hasan al-Banna menyeru umat Islam supaya jangan banyak bergurau. Tapi, kalau penguasa kurang bergurau dan selalu memantau iman rakyat, berusaha keras memimpin kesedaran dan pemerintah sendiri kurang bergurau dan membuang masa, nescaya rakyat pun akan menjadi serius kerana mereka memahami bahawa dunia ini, hakikatnya adalah sebuah jambatan untuk menuju ke akhirat. Sekali lagi.. 70 peratus kelemahan umat Islam hari ini bermuara daripada sikap penguasa yang tidak bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan dan tugasnya sebagai pemerintah. Wallahu'alam..