KLIK UTK BESARKAN



Saya mewakili pimpinan PAS Kawasan Kuala Selangor mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri " kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya masyarakat Islam di Kuala Selangor.

Saya mengharapkan objektif umat diwajibkan berpuasa iaitu "supaya meningkatkan takwa" akan tercapai . Apabila hati para mukmin yaang telah dinobatkan sebagai raja dapat ditarbiyah mengikut acuan Al Quran dan As Sunnah dalam Madrasah Ramadhan, yakinlah raja yang bersih ini akan dapat menundukkan seluruh rakyatnya iaitu akal, para anggota zahirnya dan emosinya ke arah matlamat yang sama iaitu bertakwa kepada Allah.

Inilah kemenangan yang cemerlang bagi umat yang berpuasa dan layak untuk menyambut Hari Raya. Hasil kemenangan inilah akan menambah keperkasaan umat untuk terus bersatu bagi menegakkan keadilan, kesejahteraan dan kebajikan untuk seluruh manusia seperti yang dikehendaki oleh pencipta manusia.

Segala kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh golongan yang anti takwa akan musnah dan tertegaklah negara idaman mmanusia iaitu negara yang baik dan mendapat keampunan Allah.

Akhir kalam, salam kemaafan dari kami saf kepimpinan PAS Kawasan Kuala Selangor atas sebarang kekurangan dan kesilapan kami sepanjang menerajui kepimpinan PAS Kawasan

Taqabballahu minkum

Salam Aidilftiri, Maaf Zahir dan Batin.

Muhd Rashid Kassim
Yang diPertua
PAS Kawasan Kuala Selangor



Sila muat turun di sini.



RAMADHAN semakin hari bakal meninggalkan kita. Bulan yang penuh rahmat, pengampunan dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang mengikhlaskan pengabdian diri kepada Allah s.wt.

Oleh itu rebutlah peluang dengan baki hari yang ada, setiap jam yang dilalui, setiap minit yang berdetik dan setiap saat masa yang berlalu untuk mempastikan Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita semua.

Berkorbanlah dengan masa, tenaga dan segala-galanya untuk mencari malam Lailatul Qadar kerana di malam ini Allah menjanjikan ganjaran yang teramat besar di samping doa-doa yang akan dimakbulkan-Nya. Beri'tikaflah, bangunlah dan persembahkanlah rintihan, harapan dan taubat kerana malam itu hanya berlaku sekali dalam setahun

Hari-hari terakhir Ramadhan juga adalah hari-hari di mana Allah memadam nama-nama manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Na'uzubillah... Oleh itu perbanyakkanlah doa, basahi lidah dengan istighfar kepada Allah, sesalilah segala dosa-dosa yang dilakukan, dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi kerana sesungguhnya Allah amat ternanti-nanti permohonan ampun dari hamba-Nya

Luangkanlah masa 4-5 minit sebelum berbuka puasa untuk memperbanyakkan doa kepada Allah kerana detik-detik itu menjadi satu masa mustajabnya doa

Perbanyakkan lagi amalan-amalan membaca Al-Quran, bersedekah, sembahyang sunat dan segala perkara kebaikan kerana ingatlah hanya amalan sahaja yang akan menemani kita di saat kita berseorangan di alam barzakh

Sama-samalah kita istiqamah melakukan ibadah kepada Allah dan gunakanlah kesempatan masa yang diberikan Allah ini dengan sebaiknya kerana belum tentu Ramadhan akan datang kita dapat tempuhi lagi.

Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
http://tuanibrahim.blogspot.com/

“Eleh…engkau mana tahu nikmat merokok. Dah jadi perokok macam aku ni…huh…tiap kali lepas makan, mesti nak pekena rokok!” Demikianlah secebis bicara perokok. Dengan bangganya, mereka mempertahankan legasi ‘kemerokokan’ mereka. Mereka tiada keseriusan untuk merenung, apakah tabiat merokok mereka itu selari dengan budaya, ajaran agama dan cara hidup sihat.

Lalu, kita dianjur agar mengingatkan mereka…‘Nafas baru bermula Ramadan.’ Inilah kempen Kementerian Kesihatan Malaysia setiap tahun menjelang Ramadan. Pastinya, tidak lain dan tidak bukan, ia bertujuan untuk memupuk kesedaran kepada perokok, khususnya para penggemar rokok dalam kalangan umat Islam, agar menjadikan Ramadan sebagai detik awal menamatkan ketagihan merokok.

Tidak mustahil mereka berhenti merokok, kerana abah saya sendiri, seorang perokok tegar mampu meninggalkan terus ketagihan merokoknya selepas Ramadan. Jika nak tahu, abah saya jika membeli rokok, bukan sekotak tetapi dua kotak. Tahannya bukan dua hari, tetapi sehari. Apatah lagi jika abah saya sedang menukang, rokoknya bersambung puntung. Sentiasa terjepit di bibir. Punyalah tegar, sampai tak terfikir saya bahawa satu masa nanti beliau akan menamatkan hobi merokoknya itu.

Nah! Hakikatnya ramai perokok muslim menyedari dan mengakui bahawa mereka mampu mengawal tabiat merokok sepanjang berpuasa dalam bulan Ramadan. Maknanya, jika mereka berpuasa 12 jam, maka selama 12 jam itulah mereka mampu menahan ketagihan merokok. Bahkan, ada juga yang mampu mengelakkan rokok sepanjang bulan Ramadan. Maknanya, jika ditakdirkan tahun itu puasanya selama 30 hari atau 29 hari, maka selama itu jugalah mereka tidak menyentuh rokok. Hebat betul semangat dan jihad mereka ini.

Malangnya, keampuhan semangat dan jihad itu segera longlai apabila masuk sahaja waktu berbuka puasa. Habis sahaja memakan tamar dan meneguk air sirap, segeralah mereka mencari ‘oksigen’ tambahan. Apa lagi jika bukan rokok. Begitulah juga, sehabis sahaja Ramadan, menjelang Syawal, maka entah bagaimana semangat sepanjang Ramadan boleh sirna begitu sahaja. Dalam mereka galak menyuap lemang dan rendang, galak jugalah mereka menyalakan rokok batang demi batang.

Hakikatnya, merokok ini sudah difatwakan sebagai haram di sisi umat Islam oleh pelbagai institusi agama, dalam dan luar Negara. Di Malaysia ini, hamper semua jawatankuasa fatwa negeri telah memutuskan bahawa merokok adalah haram. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga memutuskan bahawa merokok adalah haram. Di luar Negara, Persidangan Fiqh Islam Sedunia juga memutuskan bahawa merokok adalah haram. Ulamak seantero dunia, termasuklah di al-Azhar, Mesir dan di Madinah, menyatakan bahawa merokok itu haram.

Dalilnya disandarkan kepada firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 195: dan jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan!

Jika orang itu dengan sengaja mengelar tangannya sehingga boleh menyebabkan kematian, ia dihukumkan haram. Ini kerana, dia telah cuba ‘membunuh dirinya sendiri.’ Maka begitulah juga, dengan asap rokok yang mengandungi pelbagai jenis bahan kimia beracun yang masuk ke dalam tubuh, maka ia juga boleh membunuh diri secara perlahan-lahan, maka ia juga dihukumkan haram. Maka, amat moleklah jika umat Islam menjauhi amalan ‘membunuh diri’ dengan senyap ini.

Bahkan jika dibandingkan mengelar tangan dan menghisap rokok, jauh lebih merosakkan ialah merokok. Ini kerana, asap rokok akan turut dikongsi oleh orang lain, sama ada anak, isteri, kawan-kawan dan sesiapa sahaja. Sudahlah baunya busuk, ia bahkan menyumbang ‘oksigen beracun’ pula kepada orang lain.

Itu belum diambil kira jumlah kerugian akibat ‘membakar’ duit setiap hari. Bayangkanlah, sekotak rokok sudah mencecah RM8.50, jika sehari sekotak, maka berapakah jumlahnya dalam sebulan, dalam setahun? Lebih malang, dalam asyik merokok, mereka tidak pula menunaikan zakat harta atau zakat pendapatan mereka. Amat malanglah orang sebegini.

Hakikatnya, apabila Ramadan datang, maka sepanjang berpuasa orang yang merokok dapat menahan dirinya daripada menyentuh rokok. Senario ini membuktikan bahawa kuasa ‘sakti’ rokok yang memukau dan menyihir minda para penghisapnya, memang dapat disingkirkan oleh kuatnya aura Ramadan.

Hal ini tidak pelik, kerana memang sudah dijamin oleh Allah SWT dan nabi SAW sendiri, iaitu sepanjang bulan Ramadan, musuh yang menggoda manusia, iaitu Iblis dan Syaitan sudah dibelenggu. Apa yang tinggal hanyalah nafsu. Maka, apabila kita berpuasa, hakikatnya nafsu kita turut diikat, terbelenggu dan menjadi lesu.

Bahkan puasa yang dilakukan dengan penuh takwa memang terbukti mampu membantu seseorang itu untuk menundukkan nafsu, sehinggakan nabi menyarankan agar orang lelaki yang tidak mampu berkahwin kerana kemiskinan, agar menundukkan nafsu syahwatnya dengan puasa. Puasa melaparkan. Puasa meletihkan. Puasa menyebabkan nafsu yang gagah menjadi lemah. Itulah hebatnya puasa.

Natijahnya, puasa yang ikhlas dan sempurna, dapat membantu seseorang perokok itu untuk mengekang nafsu merokok mereka. Apa yang perlu, andai mereka sudah mampu mengawalnya pada bulan Ramadan, maka lanjutkan sahaja ia ke bulan-bulan berikutnya. Baharulah puasa mereka benar-benar menyahut seruan Allah SWT, iaitu….mudah-mudahan kamu beroleh takwa. Wallahua’lam.

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Ramadan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan hari Jumaat, penghulu segala hari.


Ia merupakan anugerah Allah kepada insan muslim agar mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan kerja taat kepada Allah untuk memperolehi anugerah tambahan-Nya atau bonus agung-Nya dengan menjanjikan Lailatul Qadar yang biasanya akan jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir.

Mungkin inilah yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadis yang bermaksud: Alangkah hairannya, bagi orang yang dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadan tiba-tiba ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

keampunan itu merupakan satu anugerah yang dijanjikan kepada orang yang benar-benar menjadikan Ramadan sebagai bulan ibadah khusus kerana Allah. Di samping mengharapkan keampunan.

Nabi juga pernah sebut dalam hadis: "sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya."

Lebih khusus daripada itu, kita lihat kepada tarbiyah yang ditarbiyah Rasulullah kepada umatnya menerusi satu hadis sahih.

Daripada Aishah r.a dengan pesannya,"wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah : Ya Allah ! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosa saya."

Tarbiyah yang dimaksudkan itu dengan meletakkan pengharapan yang begitu tinggi, agar kesalahan, ketelanjuran atau kesengajaan, Allah akan terima pengampunannya pada 10 malam akhir Ramadan, akan diampunkan dosa.

Jelas kelihatan bahawa yang amat perlu dipohon kepada Allah ialah penghapusan dosa dan bukan kemanfatan duniawi seperti memohon kekayaan, kemenangan menghadapi musuh, kehebatan dalam kerjaya atau apa sahaja yang namanya hambatan dunia. Semuanya itu tidak penting berbanding dengan keampunan dosa.

Kerana jika diamati akan ternampak kehebatan pencapaian manusia dalam kehidupan ini bukannya kejayaan bersifat sementara.Kehebatan yang agak sementara, akan tetapi kehebatan Allah dengan penghapusan dosa adalah suatu impian dan pencapaian yang begitu tinggi kerana itulah maka fokus utama setiap muslim ialah hari-hari akhir 10 malam ini.

Menjadi satu fokus ke arah meletakkan nilai diri insan yang semata-mata untuk mendapat keredaan Allah. Sekiranya matlamat keredaan Allah itu sudah dicapai, maka tercapailah kemuncak daripada tujuan sebenar manusia ini diciptakan Allah yang akhirnya kepada Allah sahaja tumpuan hidup semua makhluk bagi mendapat reda Allah.

Janji-janji Allah pada hamba-Nya

Ramadan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah yang telah dipikulkan ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah melainkan dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang semakin mencabar.

Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.

Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di maya pada ini.

Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah telah menjanjikan suatu 'madah' yang akan menjadi perangsang untuk pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadan dengan ayat Allah yang bermaksud : "mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya Allah, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah tidak membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah) akan menyempurnakan agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin."

Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-quran seperti dalam surah Annur ayat 55 yang mafhumnya : " Allah berjanji dengan kamu yang beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah) seperti mana Allah telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada angkatanmu pemerintah bumi Allah dan pada ketika itu segala perkara huru hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq."

Oleh itu, maka Ramadan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu yang hidup sepanjang Ramadan hingga mencecah menemui awal Syawal.

Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka pada beberapa hari terakhir Ramadan. Hampir berlaku orang yang semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya ibadah 'maliyyah' walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan Ramadan.

Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba Allah yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadan dengan amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui Allah di hari akhirat nanti.

Dato' Dr Haron Din
Timbalan Mursyidul AM
Parti Islam seMalaysia (PAS)

Harakahdaily/-


Apabila tercetusnya isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap penganjuran program di Damansara Utama Methodist Church, tidak semena-mena media arus perdana bertindak memaparkan berita dengan tujuan untuk melonjakkan UMNO menjadi juara mempertahankan Islam, seolah-olah memang benarlah UMNO adalah sebuah parti gagah perkasa yang mempertahankan Islam. Namun rakyat boleh sebenarnya menilai siapakah yang sebenarnya memperjuangkan Islam, dengan menerokai kembali sifat dan sikap yang ditunjukkan terhadap agama Islam sejak puluhan tahun ini.

Perlu diketahui bahawa pertembungan agama untuk mencari penganut bukan perkara baru, kerana ianya berlaku sejak dari zaman Nabi Adam sehinggalah tamatnya ajal dunia ini. Umat Islam yang beriman bahawa mereka adalah penganut agama para rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W. wajib mempertahankan agama mereka dan menyebarkanya kepada seluruh manusia, namun dilarang melakukan paksaan terhadap sesiapa pun manusia, kerana Islam itu bukan sahaja ucapan secara lisan, ianya hendaklah disertakan dengan iman dan dinyatakan dengan amalan yang ikhlas. Memaksa orang menganut Islam hanya melahirkan penganut Islam munafik.

Rasulullah S.A.W. telah berada dalam masyarakat majmuk, sama ada di Makkah dalam kedaan yang lemah, atau dalam kedaan yang sangat kuat berkuasa di Madinah. Ketika Islam dalam kedaan berkuasa di Madinah,Rasulullah S.A.W. mengizinkan penganut agama lain wujud dalam masyarakat Islam secara aman dengan menjadi rakyat yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.

Dalam masa yang sama Islam mewajibkan penganutnya mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya. Zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram, sehingga Rasulullah S.AW memberi amaran neraka kepada orang Islam yeng mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.

Al Quran meletakkan garis panduan dalam surah Al Haj, ayat 40 :

Maksudnya :“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara dan gereja-gereja penganut kristian, rumah-rumah ibadat orang yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

Rasulullah S.A.W telah menafsirkan perintah Allah secara amalan, apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang, maka sudah tentulah ketika damai keadaan ini lebih wajib dipelihara.

Bagi penganut agama lain yang wujud bersama dan berada dalam masyarakat Islam yang lebih ramai sekalipun, maka hak beragama, berkeluarga, bekerja dan bermasyarakat bagi mereka adalah wajib ditunai dan haram dicabuli oleh mana-mana pihak. Dalam masa yang sama, banyak ayat-ayat Al Quran memaparkan berlakunya perbahasan secara hujah di antara Islam dan pihak lain dalam masyarakat Islam dengan mengutamakan kebijaksanaan.

Sejarah Islam juga memaparkan kewujudan orang Islam dalam masyarakat bukan Islam yang berkuasa dan adil tanpa paksaan terhadap penganut Islam. Rasulullah S.A.W. mengarahkan para sahabatnya berhijrah ke Habasyah, iaitu sebuah negara kristian ortodok yang adil di zamanya untuk mendapat perlindungan dan berlakunya dailog di antara Islam dan Kristian dengan hujah. Sejarah Islam di China menyebut kewujudan masyarakat Islam di negara China yang besar dan adanya orang Islam yang menyumbang khidmat negara dengan cemerlang kepada negara China dan adanya hubungan diplomatik diantara China dan Islam dengan baik.

Amir Al Mukmin Umar bin Al Khattab dijemput oleh paderi besar Palestin yang menyambut kemenangan Islam menjatuhkan Rom Timur yang sebelumnya dikuasai oleh penganut Kristian yang berlaku zalim terhadap mereka. Khalifah Umar datang menerima jemputan dan melawat Gereja Baitul Laham. Apabila tiba waktu sembahyang, Umar bertanya :”Di mana tempat saya bersembahyang?”. Paderi besar menjawab :”Di sini sahaja (dalam gereja)”. Umar menjawab :” Tidak patut bagi Umar bersembahyang di sini, nanti generasi akan datang berkata : ”Umar pernah bersembahyang di sini lalu mereka mendirikan masjid di sini (dengan merobohkan gereja)”. Maka Umar pun keluar dan bersembahyang di halaman, dan bersempena dengannya didirikan masjid yang masih ada sehingga hari ini berhampiran dengan gereja yang masih ada. Apa yang paling menarik di zaman terkini, pihak gereja itu pula melindungi mujahidin Palestin yang dikepung oleh tentera zionis Israel.

Semua cerita benar tersebut berlaku dalam kedaan Islam diamalkan dengan sempurna, yang berbeza dengan Islam yang diamalkan oleh UMNO pada ketika lalu dan kini. Islam warisan penjajah Inggeris yang dizamannya Islam telah dirampas kuasanya daripada raja-raja Melayu dengan memenjarakannya dalam kepompong Jabatan Agama dan Majlis Agama yang tidak berkuasa mengikut Islam yang sempurna. Manakala kedudukan jabatan agama adalah mengikut bidang kuasa seperti jabatan-jabatan lain, seperti jabatan pendidikan, tanah, kebajikan , termasuk jabatan haiwan dan perhutanan. Kuasa jabatan agama itu sekadar mengawal masjid, mengawasi khutbah dan pengajian agama, mengendalikan urusan keluarga Islam, pusaka dan harta wakaf. Islam menjadi agama yang diperintah dan ditadbir, bukannya agama yang memerintah dan mentadbir. Hasilnya masjid boleh digeledah, tidak ada perbezaan dengan gereja dan imam boleh diambil tindakan bukan kerana kesalahan agama, tetapi kerana kononnya kesalahan politik. Politik pula dipisahkan daripada agama, seperti juga pemisahan agama dengan politik dalam lain-lain agama selain dari Islam.

UMNO tidak layak mempertahankan Islam kerana tidak berwajah Khalifah Umar yang melawat gereja dan bersembahyang apabila tiba waktunya, kerana Umar mendirikan sembahyang maka dengan sendiri mendirikan masjid, sedang UMNO mendirikan masjid tetapi tidak semestinya mendirikan sembahyang, boleh berhimpun untuk membincangkan agenda negara dengan meninggalkan sembahyang, sedangkan Saidina Umar tidak memisahkan sembahyang dengan urusan negara.

Kesimpulannya kenyataan media milik UMNO dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali K.W. “Ucapan yang zahirnya benar , tetapi matlamatnya kebatilan“. Ianya dengan bermatlamat untuk memancing undi melayu Islam yang buta al Quran, bagi pilihanraya umum ke-13 untuk meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin.

Marilah kita buka Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW dan para sahabat dan ulama muktabar yang menunjukkan cara beramal dengan Islam yang sebenarnya. Bukan melalui media dan pengampu di sepanjang jalan.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Isnin 8 Ramadhan 1432 bersamaan 8 Ogos 2011



Sekitar progroam Briged Amal Selangor anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram, Jentera Pilihanraya DUN Jeram dan Dewan Pemuda PAS Kuala Selangor. Lihat album penuh di sini.



Sekitar majlis penyampaian sumbangan bagi pihak kerajaan negeri yang disampaikan oleh Tn Hj Muhd Rashid Kassim (Penyelaras DUN Jeram) dan YB Ir Muthia (ADUN Bukit Melawati) di Masjid al-Barokah Assam Jawa, Kuala Selangor. Lihat album penuh di sini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular