KLIK UTK BESARKAN

“Eleh…engkau mana tahu nikmat merokok. Dah jadi perokok macam aku ni…huh…tiap kali lepas makan, mesti nak pekena rokok!” Demikianlah secebis bicara perokok. Dengan bangganya, mereka mempertahankan legasi ‘kemerokokan’ mereka. Mereka tiada keseriusan untuk merenung, apakah tabiat merokok mereka itu selari dengan budaya, ajaran agama dan cara hidup sihat.

Lalu, kita dianjur agar mengingatkan mereka…‘Nafas baru bermula Ramadan.’ Inilah kempen Kementerian Kesihatan Malaysia setiap tahun menjelang Ramadan. Pastinya, tidak lain dan tidak bukan, ia bertujuan untuk memupuk kesedaran kepada perokok, khususnya para penggemar rokok dalam kalangan umat Islam, agar menjadikan Ramadan sebagai detik awal menamatkan ketagihan merokok.

Tidak mustahil mereka berhenti merokok, kerana abah saya sendiri, seorang perokok tegar mampu meninggalkan terus ketagihan merokoknya selepas Ramadan. Jika nak tahu, abah saya jika membeli rokok, bukan sekotak tetapi dua kotak. Tahannya bukan dua hari, tetapi sehari. Apatah lagi jika abah saya sedang menukang, rokoknya bersambung puntung. Sentiasa terjepit di bibir. Punyalah tegar, sampai tak terfikir saya bahawa satu masa nanti beliau akan menamatkan hobi merokoknya itu.

Nah! Hakikatnya ramai perokok muslim menyedari dan mengakui bahawa mereka mampu mengawal tabiat merokok sepanjang berpuasa dalam bulan Ramadan. Maknanya, jika mereka berpuasa 12 jam, maka selama 12 jam itulah mereka mampu menahan ketagihan merokok. Bahkan, ada juga yang mampu mengelakkan rokok sepanjang bulan Ramadan. Maknanya, jika ditakdirkan tahun itu puasanya selama 30 hari atau 29 hari, maka selama itu jugalah mereka tidak menyentuh rokok. Hebat betul semangat dan jihad mereka ini.

Malangnya, keampuhan semangat dan jihad itu segera longlai apabila masuk sahaja waktu berbuka puasa. Habis sahaja memakan tamar dan meneguk air sirap, segeralah mereka mencari ‘oksigen’ tambahan. Apa lagi jika bukan rokok. Begitulah juga, sehabis sahaja Ramadan, menjelang Syawal, maka entah bagaimana semangat sepanjang Ramadan boleh sirna begitu sahaja. Dalam mereka galak menyuap lemang dan rendang, galak jugalah mereka menyalakan rokok batang demi batang.

Hakikatnya, merokok ini sudah difatwakan sebagai haram di sisi umat Islam oleh pelbagai institusi agama, dalam dan luar Negara. Di Malaysia ini, hamper semua jawatankuasa fatwa negeri telah memutuskan bahawa merokok adalah haram. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga memutuskan bahawa merokok adalah haram. Di luar Negara, Persidangan Fiqh Islam Sedunia juga memutuskan bahawa merokok adalah haram. Ulamak seantero dunia, termasuklah di al-Azhar, Mesir dan di Madinah, menyatakan bahawa merokok itu haram.

Dalilnya disandarkan kepada firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 195: dan jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan!

Jika orang itu dengan sengaja mengelar tangannya sehingga boleh menyebabkan kematian, ia dihukumkan haram. Ini kerana, dia telah cuba ‘membunuh dirinya sendiri.’ Maka begitulah juga, dengan asap rokok yang mengandungi pelbagai jenis bahan kimia beracun yang masuk ke dalam tubuh, maka ia juga boleh membunuh diri secara perlahan-lahan, maka ia juga dihukumkan haram. Maka, amat moleklah jika umat Islam menjauhi amalan ‘membunuh diri’ dengan senyap ini.

Bahkan jika dibandingkan mengelar tangan dan menghisap rokok, jauh lebih merosakkan ialah merokok. Ini kerana, asap rokok akan turut dikongsi oleh orang lain, sama ada anak, isteri, kawan-kawan dan sesiapa sahaja. Sudahlah baunya busuk, ia bahkan menyumbang ‘oksigen beracun’ pula kepada orang lain.

Itu belum diambil kira jumlah kerugian akibat ‘membakar’ duit setiap hari. Bayangkanlah, sekotak rokok sudah mencecah RM8.50, jika sehari sekotak, maka berapakah jumlahnya dalam sebulan, dalam setahun? Lebih malang, dalam asyik merokok, mereka tidak pula menunaikan zakat harta atau zakat pendapatan mereka. Amat malanglah orang sebegini.

Hakikatnya, apabila Ramadan datang, maka sepanjang berpuasa orang yang merokok dapat menahan dirinya daripada menyentuh rokok. Senario ini membuktikan bahawa kuasa ‘sakti’ rokok yang memukau dan menyihir minda para penghisapnya, memang dapat disingkirkan oleh kuatnya aura Ramadan.

Hal ini tidak pelik, kerana memang sudah dijamin oleh Allah SWT dan nabi SAW sendiri, iaitu sepanjang bulan Ramadan, musuh yang menggoda manusia, iaitu Iblis dan Syaitan sudah dibelenggu. Apa yang tinggal hanyalah nafsu. Maka, apabila kita berpuasa, hakikatnya nafsu kita turut diikat, terbelenggu dan menjadi lesu.

Bahkan puasa yang dilakukan dengan penuh takwa memang terbukti mampu membantu seseorang itu untuk menundukkan nafsu, sehinggakan nabi menyarankan agar orang lelaki yang tidak mampu berkahwin kerana kemiskinan, agar menundukkan nafsu syahwatnya dengan puasa. Puasa melaparkan. Puasa meletihkan. Puasa menyebabkan nafsu yang gagah menjadi lemah. Itulah hebatnya puasa.

Natijahnya, puasa yang ikhlas dan sempurna, dapat membantu seseorang perokok itu untuk mengekang nafsu merokok mereka. Apa yang perlu, andai mereka sudah mampu mengawalnya pada bulan Ramadan, maka lanjutkan sahaja ia ke bulan-bulan berikutnya. Baharulah puasa mereka benar-benar menyahut seruan Allah SWT, iaitu….mudah-mudahan kamu beroleh takwa. Wallahua’lam.

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

0 comments
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular